Home > Foto Artis > Search darah daging Amy

Search darah daging Amy

Artis Meletop

Search darah daging Amy


IKON Rock & Roll tanah air ini pernah memiliki naskhah lagu secara solo berjudul Aku Dah Bosan sekitar 20 tahun lepas.

Itu sekadar judul lagu. Realitinya, Amy Search tampak belum pernah puas bertarung di gelanggang seni meskipun telah menginjak usia 56 tahun pada 28 Julai lepas.

Tidak keterlaluan untuk menyifatkan jiwa pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman ini sentiasa mekar muda.

Adrenalin yang mengalir dalam darah Amy kekal menggelegak biar apa jua lokasi konsert yang bakal ditakluk figura ini sama ada di padang bola, tapak pesta mahupun di stadium terutamanya jika bersama dalam satu pasukan ahli kumpulan Search di sisinya.

Andai kail panjang sejengkal, lautan yang dalam jangan diduga. Pertembungan secara bertentang mata bersama legenda rock ini pastinya membikin rakan seperjuangan dalam industri seni tempatan terutamanya yang masih mentah pengalaman acapkali meneguk air liur tatkala setiap kali berkongsi pentas gara-gara aura yang dimiliki Amy.

Itu belum dihitung seluruh memori indah yang cukup sarat dilakar Amy bersama Search selama 33 tahun yang jelas tidak boleh dibilang dengan jari. Sebut saja lagu-lagu seperti Rozana, Gadisku, Fantasia Bulan Madu, Isabella, Pawana dan banyak lagi yang kekal berhantu tanpa sebarang kekangan sempadan sehingga sekarang, sudah cukup untuk menceritakan segala-galanya.

Pertukaran ahli-ahli kumpulan Search yang silih berganti sejak ditubuhkan pada 1981 sudah boleh dianggap klise.

Konflik dalaman yang tercetus sehingga menyebabkan Amy mencari haluan sendiri sekitar 1998 turut dibuang jauh-jauh daripada ingatan. Soal cemburu dengan karier solo Amy juga bukan lagi persoalan utama yang mampu menggugat keutuhan tali persahabatan dalam kalangan mereka sejak sekian lama.

Orang luar boleh kata apa saja yang mereka suka. Ibarat kata pepatah ‘carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum jua’, kemesraan yang terjalin dalam kalangan anggota kumpulan Search sudah boleh ditakrifkan sebagai adik-beradik.

Mereka bukan lagi anak-anak muda berambut panjang dan berseluar ketat yang berkelana dari Johor Bahru ke ibu negara demi sesuap nasi sekitar lebih tiga dekad lampau.

Biar hati sarat membengkak gara-gara bertelagah, biar pernah bermasam muka semata-mata berselisih pendapat. Segala-galanya tidak diperbesarkan sehingga menjadi virus yang mampu memecah-belahkan sebuah unit yang utuh.

Usai sedekad bersatu semula sejak 2004, tiada lagi yang diimpikan Search untuk kekal bersatu sebagai satu kumpulan sampai bila-bila.

Justeru, kata-kata jahat betapa konsert buat julung-julung kalinya di Istana Budaya (IB) selama empat hari bermula 4 Disember depan sebagai hadiah perpisahan sebelum Search dibubarkan selama-lamanya segera disanggah serta-merta oleh Amy.

“Ia cuma satu khabar angin. Search tidak akan berpecah sampai bila-bila dan ini bukan konsert terakhir kami,” bicara Amy ketika sidang akhbar Konsert Search: Live In Istana Budaya 2014 di Kuala Lumpur baru-baru ini.


DARI kiri, Nasir, Amy, Din, Kid dan Yazid masih utuh memperjuangkan muzik rock bersama Search.

Periuk nasi

Ungkap Amy, tidak pernah terlintas di fikirannya bersama Nasir, Yazid, Kid dan Din untuk menoktahkan perjuangan empayar Search yang dibina selama ini.

“Kami tidak pernah cakap bila kami akan berhenti membuat persembahan atau mahu ‘blah’ daripada industri. Ini periuk nasi kami.

“Perjuangan kami tiada titik noktah dan tidak akan mengaku kalah,” tegas Amy lagi.

Tidak mudah mengibarkan ‘bendera putih’ seperti mana dipamerkan Yazid yang menderita komplikasi buah pinggang demi menjayakan konsert ini juga membakar semangat Search untuk tidak sewenang-wenangnya mengucapkan selamat tinggal kepada peminat setia mereka.

Meskipun pernah anasir luar cuba menggugat keharmonian kumpulan ini apabila didakwa tidak melawat Yazid yang terlantar sakit di hospital sekitar tahun lepas, ia jelas satu tohmahan sebaik menyaksikan air mata Amy mengalir sederas hujan yang membasahi bumi Kuala Lumpur ketika sidang akhbar berkenaan tempoh hari.

“Itulah Yazid. Dia tetap berusaha hendak bermain biarpun tidak cukup sihat. Sudah 33 tahun kami bersama, jadi saya cukup sebak kerana konsert ini sarat dengan emosi buat kami.

“Sampai bila-bila pun kami tidak akan mencari pengganti Yazid. Jika dia tidak boleh beraksi, kami nekad untuk menggunakan khidmat sesionis sampai bila-bila. Jadi sama ada dia boleh bermain dram ataupun tidak pada konsert itu kelak, ia bukan satu persoalan,” ungkap Amy tersekat-sekat sambil ditenangkan Nasir.

Seandainya Search sebuah pasukan bola sepak, Amy boleh dianggap sebagai penyerang yang bertanggungjawab menggempur pertahanan lawan.

Tambahan pula, IB boleh disifatkan sebagai pentas final sebelum tirai 2014 dilabuhkan selepas venue itu terlebih dulu ditakluk Datuk Jamal Abdillah, Datuk Ramli Sarip dan kumpulan Kembara sepanjang tahun ini.

Atas kertas, kali terakhir Search beraksi dalam konsert berskala besar adalah menerusi Konsert Fenomena 30 Tahun Search di Mines Convention Centre, Seri Kembangan, Selangor pada 2011.

Justeru, konsert anjuran Urban Creative Synergy (UCS) Sdn. Bhd. di IB kali ini pastinya menguji kemampuan Search secara total. Sebagai ‘buah penutup’, persembahan Search harus lebih padu dan mantap, ia diakui Amy sendiri.

“Kami akan beraksi seperti biasa dengan cara sendiri tetapi ia harus berbeza. Sebagai ‘frontliner’, saya harus sentiasa bersedia. Saya sendiri tidak pernah menyangka masih berpeluang beraksi di IB bersama Search buat kali pertama biarpun telah berusia 56 tahun.

“Kalau nak tahu, kali terakhir saya membuat persembahan lima malam berturut-turut pun sekitar 1980-an, jadi saya perlu memberikan yang terbaik.

“Ia satu pertempuran buat kami yang perlu berjuang tidak kira hidup atau mati. Saya harap peminat yang tidak pernah jemu dengan kerenah kami dapat hadir memberikan sokongan sepanjang konsert berkenaan,” jelas Amy yang turut optimis peminat Search tidak memiliki masalah menghormati etika pemakaian yang ditetapkan IB sepanjang konsert itu kelak.

Itu bukan bermakna Search perlu bersedia dengan ‘peluru-peluru’ baharu bagi menembusi kotak hati peminat kali ini.

Sebaliknya, Amy dan rakan-rakan percaya lagu-lagu sedia ada sudah cukup untuk memastikan konsert berkenaan kekal menjadi momen terindah sampai bila-bila.

“Tidak perlu single baharu, apa yang ada sudah cukup kuat. Cuma, kami masih dalam perbincangan mengenai senarai 20 lagu akhir yang bakal dimainkan sepanjang empat hari itu nanti. Kalau ikutkan dua jam memang tidak cukup untuk main kesemua lagu, jadi percaturan kena betul,” jelas Amy lagi.


AMY tetap sayangkan Search biarpun pernah bergerak secara solo sekitar tahun 1990-an.

Memang saya pernah marah – Yazid

Tidak lengkap rasanya jika percubaan Search menakluk pentas IB buat julung-julung kalinya ini tanpa kehadiran Yazid. Tahu ia detik yang cukup bersejarah, Yazid berharap kesemuanya berjalan lancar sepanjang konsert berkenaan.

“Ada doktor dan jururawat, mereka sendiri nak datang ke konsert ini. Ambulan juga tersedia, mana tahu kalau terjadi apa-apa,” getus Yazid.

Menurutnya, dia terlalu cintakan muzik dan sanggup menjalani dua pembedahan semata-mata mahu menjayakan konsert itu.

“Terlalu lama di hospital, saya seolah-olah tiada kehidupan. Ini tanggungjawab saya bersama Search, jadi memang saya mahu main di konsert ini.

“Jika diikutkan, saya bercadang dua pemain dram termasuk saya beraksi serentak pada konsert itu. Saya juga mungkin menggunakan dram elektronik, namun ia bukan bermakna mahu menjimatkan tenaga,” cerita Yazid sambil mengesat air mata.

Membesar bersama rakan-rakan sekugiran yang tidak ubah seperti satu keluarga, Yazid mengakui, seluruh jiwa dan raganya didambakan sepenuhnya terhadap Search.

“Memang saya pernah marah, kalau tak pernah bergaduh itu maknanya kami berbohong tetapi saya marah atau bising yang menyebabkan kami lebih matang.

“Secara individu kami mungkin tidak kuat tetapi apabila bersatu, aura Search pasti ada. Ini karakter kami sejak dulu lagi,” ujarnya yang tidak putus-putus berdoa supaya sentiasa berada dalam kesihatan terbaik bagi menjayakan konsert berkenaan.

Nasir pula memberitahu, mereka bercadang mewujudkan satu segmen khas buat Yazid sepanjang konsert berkenaan.

“Kami gembira apabila Yazid kini lebih sihat. Buat masa ini, kami sedang mengadakan perbincangan bersama pengarah teknikal berhubung segmen khas buat Yazid.

“Mungkin Yazid akan bermain secara solo bersama animasi grafik dalam segmen khas berkenaan, segala-galanya bakal terjawab pada konsert itu nanti,” kongsi Nasir.

Eksperimen dalam ‘istana’

Berbanding diiringi pemuzik orkestra secara menyeluruh, Search sebaliknya lebih tertarik dengan idea instrumental cello untuk mengiringi persembahan mereka di IB kelak.

Justeru, konsert Search kali ini juga bakal menjanjikan sesuatu kelainan apabila diiringi kumpulan rock cello tempatan, Paladin yang dianggotai oleh Florian Antier, Iqbal Mohd., Rasyid Iskandar, Aidil Jill, Aamil Sulaiman dan Ahmad Haziq.

Getus Amy, bunyi gesekan tali cello yang berat oleh Paladin berupaya memastikan repertoire Search lebih menggetarkan jiwa untuk dipersembahkan di pentas yang berprestij seperti IB.

“Ia satu benda baharu yang menarik untuk bereksperimen kerana kami mencari kelainan dalam persembahan kali ini. Paladin pernah beraksi di luar negara dengan mendendangkan lagu Search, jadi kami yakin ia satu gabungan menarik,” kata Amy.

Tags: , ,



Artikel Yang Lain:


  1. Kamal Adli, Intan Ladyana Nafi Hubungan Bermasalah
  2. SIAPAKAH YANG MEMULAKAN SOLAT TARAWIH BERJEMAAH?
  3. Kemunculan Semula Sheila Rusly Atas Permintaan TV3
  4. David Teo Selar Stesen Radio Enggan Putar Lagu Nyanyiannya
  5. Orang Makan Orang Di China
  6. Amanda Imani Tidak Putus Asa Kejar Dunia Artis
  7. Nas nafi over confident punca tewas manakala Nordin akui semakin sihat sejak berada di KE 4!
  8. Yusof Haslam Anggap Wardina Tidak Matang Komen Isu Buli
  9. Pasangan Bahagia, Aidil Zafuan & Zarema Zainal
  10. Polis Kawal Kediaman Justin Bieber

Comments are closed.