Home > Foto Artis > Kecelaruan emosi dalam Kelibat

Kecelaruan emosi dalam Kelibat

Artis Meletop

Kecelaruan emosi dalam Kelibat


FAUZI NAWAWI membawa watak Kamal sebagai ketua keluarga yang tertekan dengan baik.

BIASANYA, inti sesebuah filem itu didasari oleh cerita yang baik, plot yang kuat serta persembahan barisan pelakon yang mantap. Sisi filem yang sempurna juga diukur menerusi keunikan yang diterapkan seperti penambahan kesan khas serta bunyi yang melengkapkan karya tersebut.

Namun, jika kesemua elemen berkenaan dicampur aduk tanpa berpaksikan pada satu titik fokus utama, pasti matlamat untuk menjadikan filem itu sebuah karya yang bagus tidak kesampaian.

Itulah yang terjadi pada filem Kelibat, sebuah karya seram arahan Hashim Rejab yang diterbikan oleh MIG Pictures Sdn. Bhd.

Walaupun menampilkan para pelakon hebat seperti Fauzi Nawawi yang memegang watak sebagai Kamal dan Ellie Suriati (Karlin), namun kecelaruan plot dalam filem itu menjadikan perasaan teka-teki penonton hilang sekelip mata.

Selain itu, jalan cerita dan imbas kembali disusun secara klise, sekali gus membuatkan penonton dapat meneka pengakhiran cerita tersebut walaupun baru separuh jalan ditayangkan.

Bagaimanapun, bukan tiada perkara yang postif tentang filem berkenaan. Harus diakui, keberanian Hashim mengangkat tema manusia yang terdesak akan melakukan apa sahaja, termasuk membunuh ahli keluarga sendiri, perlu dipuji.

Ia merupakan satu realiti yang berlaku di dalam kehidupan sehari-hari di seluruh dunia, hanya ia jarang divisualkan dalam bentuk filem.

Di dalam Kelibat, penceritaan tentang seorang manusia yang depresi kerana tekanan kehidupan sehingga menyebabkan dia bertindak di luar kewarasan digarap dengan baik.

Beberapa adegan cemas yang dipertontonkan juga menjadi, namun kesan penggunaan kesan khas teknik janaan komputer (CGI) yang dilakukan sedikit kurang kemas menjadikan beberapa babak dalam filem itu agak terganggu.

Tanpa menggunakan CGI, barangkali lebih baik jika pelakon sebenar disolek dengan teknik solekan menyeramkan berbanding daripada menggunakan kesan khas tersebut.


ELLIE sebagai Kalin tampil dengan sisi lakonan penuh depresi.

Lakonan

Harus diakui, Fauzi dan Ellie merupakan antara pelakon yang mampu ‘memberi’ menerusi apa jenis watak sekalipun.

Lakonan mantap Fauzi sebagai Kamal yang mengalami depresi dan mengalami kecelaruan emosi harus diberi pujian. Adegan seorang bapa sanggup membunuh anaknya biar diratap rayu agar diberi peluang untuk terus hidup di dalam salah satu babak cukup menyentuh.

Karakter Karlin yang digalas oleh Ellie pula diakui menonjol tetapi sedikit berlebihan dalam beberapa babak.

Selain dua pelakon tersebut, pelakon lain yang turut menjayakan filem ini termasuklah Niezam Zaidi yang memegang watak Azahari, Atikah Suhaime (Azalea) serta Shima Anuar (Linda).

Biarpun ada kekurangan dari segi visual, namun Kelibat dapat menyampaikan mesej kehidupan dengan jelas.

Filem itu juga masih mengandungi nilai-nilai murni yang boleh dijadikan pengajaran.

Salah satu daripadanya ialah tentang sikap anak-anak yang menjadi biadab hanya kerana tidak dapat menerima kenyataan bahawa ibu dan bapa mereka telah jatuh miskin.

Sifat kurang ajar itu terserlah apabila Azahari dan Azalea menengking bapa mereka kerana tidak menjadi ketua keluarga yang baik. Paling menyedihkan, Azahari melemparkan bungkusan air teh yang dibeli oleh bapanya ke dinding rumah akibat marah.

Kelibat mengisahkan tentang pasangan suami isteri, iaitu Kamal dan Kalin yang terpaksa berpindah ke sebuah calet usang setelah Kamal jatuh bankrap.

Pada masa yang sama, mereka berpindah ke calet tersebut kerana mahu lari daripada dikejar oleh lintah darat akibat hutang.

Konflik mula tercetus apabila Kamal hilang pertimbangan terhadap sikap isteri dan anak-anaknya lalu membunuh mereka seorang demi seorang.

Kelibat mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 6 November lalu.

Tags: , , ,



Artikel Yang Lain:


  1. Gaun Hitam Serlahkan Imej Ziana Zain
  2. Sedia lepaskan tawaran berlakon jika skrip tidak sesuai dengan jiwa
  3. Nas nafi over confident punca tewas manakala Nordin akui semakin sihat sejak berada di KE 4!
  4. Agnes Monica
  5. Vanessa Mae dakwa ibu seorang yang keras
  6. Awie Mengaku Tidak Bersalah Dakwaan Pukul Isteri Di Mahkamah
  7. foto agnes monica
  8. Balistik terbaik !
  9. Kes Pemandu Ambulans Rogol Jururawat Hospital Mersing.
  10. Berang Tunang Mekap Seperti Wanita Tua

Comments are closed.