Home > Foto Artis > Jgn tunjuk pandai

Jgn tunjuk pandai

“JANGAN nak tunjuk pandai!” itulah antara penegasan pengarah dan penerbit terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, terhadap kurator yang mengeluarkan satu ‘Tweet’ mengenai forum yang dihadirinya sebelum ini.

Menurut ikon yang lantang berbicara mengenai perjuangan dalam industri seni ini, mungkin ramai yang tidak tahu situasi sebenar dan cuba memanipulasikan perkara ini.

Katanya, pertelingkahan di laman Twitter, itu dilihat sebagai serangan daripada pihak tertentu untuk kepentingan peribadi.

“Sebenarnya, pada 10 Disember lalu, saya menghadiri forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka, bagi melaksanakan siri jelajah, Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL).

“Dalam program itu, saya turut berkongsi pengalaman saya dalam industri dan saya ada memberitahu bahawa, ‘jangan tanya saya bagaimana untuk menghasilkan filem yang menguntungkan atau untuk meraih anugerah, namun tanya saya bagaimana untuk membikin filem’.

“Adakah itu satu kesalahan? Bagi saya, untuk peringkat pelajar yang masih lagi memerlukan ilmu, mereka perlu tahu perkara asas terlebih dahulu.

Itu yang saya maksudkan,” katanya yang menganggap perkara ini sengaja dimanipulasikan.

Tambah Idham, dia tidak menyangka perkara ini akan menjadi lebih besar kerana ia hanyalah melibatkan perkara yang remeh sahaja.

“Saya tak rasa isu ini menjadi perhatian kerana ianya hanyalah diwujudkan oleh mereka yang mempunyai agenda tersendiri.

“Mungkin ia adalah cara yang digunakan untuk sabotaj DFKL yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” katanya yang dipilih sebagai speaker untuk kategori pengarahan bersama pengarah lain, Khabir Bhatia, Sabri Yunus dan Isma Yusuf di DFKL.

Datang berdepan!

Tidak terhenti di situ, pengendali akaun Twitter, @twt_filem, Ajami Hashim, secara terbuka mengajak Idham untuk menjadi kurator yang mengendalikan ruangan itu selama dua minggu.

Katanya, platform itu dibuka untuk membolehkan peminat dan pengamal seni berkongsi pandangan dalam hal industri perfileman.

Pun begitu, ajakan berkenaan tidak diendah Idham kerana baginya, pelawaan itu bersifat ‘kurang ajar’.

“Kenapa saya perlu setuju dengan ajakan itu sedangkan dalam pada masa yang sama, saya telah mengajaknya untuk menyertai bengkel saya.

“Siapa yang mulakan dulu dan siapa yang mahukan penjelasan? Ia sama seperti situasi di mana anda yang memerlukan duit, namun meminta ibu bapa yang datang berjumpa dengan anda.

“Kalau betul dia mahu tahu apa itu industri, datanglah! Saya bila-bila masa sahaja boleh berbincang secara matang dengan mereka yang tidak berpuas hati itu,” katanya lagi.

Jelas Idham, dia sendiri kecewa dan terkilan dengan sikap anak muda kini yang mudah melenting dan hilang rasa hormat kepada mereka yang lebih tua.

“Adakah ini sikap yang baik untuk generasi yang akan datang? Selama ini, saya tidak pernah menjarakkan diri saya dengan generasi muda. Malah, saya lebih selesa disapa ‘abang’ di kalangan mereka.

“Namun, apa yang saya perhatikan, minda segelintir daripada mereka seperti dikawal oleh anasir yang kurang sihat sehingga menyebabkan mereka mudah memberontak dan tidak boleh ditegur.

“Kenyataan saya di Twitter itu bukan bersifat angkuh atau memandang rendah kepada mereka, namun pendirian saya tegas. Mungkin mereka salah faham atau sengaja menyalahfahamkan,” katanya.

Buat aduan?

Menurut Idham, dia merasakan akaun Twitter itu dikendalikan oleh pihak tertentu dan mempunyai agenda yang bersifat provokasi.

“Saya dapat rasakan bahawa akaun itu diwujudkan untuk membentuk satu komuniti. Saya takut sekiranya ia adalah cubaan untuk menjatuhkan industri.

“Saya ada berbincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan meminta pihak berkuasa menyiasatnya,” katanya yang menganggap perkara ini tidak menjejaskan kredibilitinya sebagai penggiat seni.



Tambah pemilik syarikat penerbitan, Excellent Pictures ini, dalam hal ini, dia tidak berhadapan dengan apa-apa kerugian malah, perkara ini dilihat memberi impak buruk kepada pelajar berkenaan.

“Jangan terlalu nak tunjuk pandai kerana tak semua akan berjaya menghabiskan pengajian dan tidak semua daripada mereka berjaya dalam industri pada masa akan datang.

“Ramai yang saya lihat kini terkontang-kanting dalam industri. Malah, bagi yang berminat untuk mengharungi cabaran industri, mereka perlu bersedia dan lebih positif.

“Yang penting, minda juga kena sihat dan bersih! Barulah jiwa kental untuk menerima teguran daripada orang lain,” katanya.

Tags: ,



Artikel Yang Lain:


  1. SENARAI EXCO PKR DAN DAP DIPECAT SERTA-MERTA OLEH – KHALID
  2. Kennova, Astari, Rini Lovelyluna
  3. Uqasha Senrose Kini Berhijab
  4. Noh Salleh Tidak Akan Tinggalkan Hujan
  5. KADAR TOL TAMBAK JOHOR MENINGKAT TIGA KALI GANDA BERMULA 01 OGOS.
  6. Inilah Desa Yang Dianggap Seperti Syurga Dunia
  7. Fizz Fairuz, Almy Nadia sah bergelar suami isteri
  8. Gadisa Queen 5 (2)
  9. Syahrini Photo Pictures
  10. 32 CIRI CIRI PACAR SELINGKUH

Comments are closed.