Home > Foto Artis > Cabaran baharu Zahiril, Amani & Sakinah

Cabaran baharu Zahiril, Amani & Sakinah

KEJAYAAN dan keberkesanan sesebuah drama atau filem tidak hanya bergantung pada kreativiti pengarah mahupun penerbitnya, malah keupayaan dan kebolehan seseorang pelakon turut menjadi kayu pengukur kejayaan sesebuah karya.

Sebut sahaja nama Sharifah Amani, Zahiril Adzim dan Sharifah Sakinah pasti ramai di kalangan peminat sudah tahu kemampuan ketiga anak seni ini dalam karier lakonan masing-masing.

Berilah apa sahaja watak kepada mereka, pasti hasilnya tidak mengecewakan.

Apa yang menariknya, ketiga bintang ini bakal digandingkan menerusi sebuah filem ‘Pekak’ arahan sutradara, Khairul Azri yang bakal memulakan penggambaran minggu hadapan. Sempat menghadirkan diri ke sesi baca skrip ‘Pekak’, Zass berkongsi
keterujaan mereka dalam menjayakan filem tersebut.

Zahiril jadi OKU

Biarpun sudah memiliki platform lakonan yang tersendiri, Zahiril akui lakonan dalam filem Pekak ini bakal memberi cabaran besar buat dirinya.

“Filem kali ini agak mencabar kerana watak yang saya pegang agak berat kerana sepanjang filem ini saya tidak berdialog.

“Selalunya seperti yang kita selalu fikir, sebagai seorang OKU karakternya akan menjadi seorang yang baik tetapi dalam filem ini agak berbeza sedikit watak dan peranannya itu,” katanya.

Tambah Zahiril, untuk menguasai karakter itu dengan lebih baik, dia bakal berguru dengan ayahnya yang merupakan seorang guru di sekolah pendidikan khas.

“Perkara pertama yang harus saya lakukan sebelum memulakan penggambaran adalah mengenali karakter itu sendiri dari segi bagaimana cara mereka hidup dan berinteraksi dengan masyarakat.

“Kebetulan bapa saya seorang guru di sekolah pendidikan khas, saya akan meminta bantuannya,” katanya.

Beralih pada perkembangan kehidupannya peribadinya, Zahiril turut berkongsi pengalaman bahagianya sejak bergelar seorang bapa.

“Sekarang saya sangat bahagia bila sudah bergelar seorang bapa. Perasaan itu memang tidak boleh saya ungkapkan.

“Sekarang bila ada masa lapang, saya cuma akan habiskan bersama keluarga dan rutin kehidupan juga sudah tidak sama seperti sebelum ini sebab saya perlu bekerja lebih kuat untuk masa depan keluarga,” katanya sambil tersenyum.


Serasi watak jahat: Sakinah

Memiliki strategi yang tersendiri untuk menonjolkan bakat lakonannya, Sharifah Sakinah lebih memilih untuk membawa watak antagonis dalam filem ini.

“Sebenarnya, saya memang suka bawa watak antagonis kerana bagi saya ia boleh membuatkan lakonan saya lebih menonjol.

“Lagi pun watak ini tidaklah sukar seperti watak baik kerana cabarannya yang agak besar,” katanya.

Teruja untuk memulakan penggambaran filem ini, Sakinah pada masa yang sama akui tidak sabar untuk berkongsi pengalaman bersama pelakon dan krew yang terlibat.

“Saya tidak sangka dapat bekerjasama dengan pelakon yang hebat seperti Zahiril dan Amani.

“Saya harap dengan kerjasama kali ini, banyak ilmu lakonan yang boleh saya manfaatkan,” katanya.

Sengaja tayang perut?

Gara-gara memuatkan beberapa keping foto yang mendedahkan bahagian perutnya menerusi laman Instagram miliknya, Sakinah dikecam hebat peminat industri hiburan tempatan.

Menjelaskan perkara sebenar, Sakinah menafikan perbuatannya itu dilakukan untuk meraih publisiti murahan semata-mata namun dia ada sebab yang tertentu.

“Saya bukannya sengaja hendak tayang perut di laman sosial tapi saya buat untuk tunjukkan perbezaan bahagian perut saya semenjak aktif melakukan senaman kecergasan.

“Saya memang tiada niat lain, tapi hanya untuk menaikkan semangat dan inspirasi kepada orang lain yang mengalami masalah bentuk badan.

“Saya tidak kisah apa orang mahu cakap, sebab niat saya adalah positif,” katanya.

Menguatkan lagi alasan itu, Sakinah memberitahu dia kini aktif dengan program rutin senamannya yang dikenali dengan nama Fitness Sakinah dua bulan lalu.

“Apa yang mengejutkan saya, walaupun baru dijalankan dua bulan, namun sambutan yang saya dapat amat menggalakkan dan kontroversi yang mengatakan saya ‘tayang perut’ tidak memberi kesan.

“Ada di kalangan mereka yang datang hanya sekadar nak bergembira dan ada juga benar-benar mahu kurus dan sihat. Seronok bila ada yang capai sasaran, mereka dah kurus.

“Kalau dulu saya tayang perut di Instagram. Sekarang ni ramai pula yang ikut, tayang perut mereka di Instagram masing-masing,” katanya.


Amani tetap selektif

Kali pertama digandingkan dengan aktor Zahiril, bintang Psiko Pencuri Hati, Sharifah Amani menjanjikan yang terbaik untuk lakonannya kali ini.

“Dalam filem ini saya pegang watak bernama ‘Dara’ yang berusia 17 tahun.

“Dari segi cabaran, untuk bawa watak ini saya perlu tonjolkan karakter yang berlainan yang seiring dengan usianya yang masih muda.

“Selain itu, walaupun kali pertama digandingkan dengan Zahiril, tapi dari segi keserasian, mungkin tidak ada masalah kerana kami juga berkawan di luar set,” katanya.

Pada masa yang sama, Amani turut akui amat mementingkan kualiti skrip dan jalan cerita sebelum menerima tawaran lakonan.

“Kalau boleh saya mahu elakkan bawa watak perempuan yang ditindas kerana bagi saya ia sudah tidak relevan.

“Memang saya agak selektif, bukan sebab memilih tapi ia adalah untuk kebaikan industri lakonan juga,” ujarnya yang bakal ke Singapura Mei ini untuk mempromosikan Kompilasi Teater Namron yang turut disertai barisan artis seperti Sofea Jane, Aqasha dan Vanida Imran.

Tags: , , , ,



Artikel Yang Lain:


  1. VIDEO : AUNTIE SEKSI KANTOI MENCURI DI PASARAYA GAINT
  2. Tidak Mungkin Elaine Daly Cintakan Hans Isaac
  3. Adele terima pujian lagi
  4. Jangan ganggu kebahagiaan Nora Danish
  5. TIDAK BERSELUAR DALAM TERSEBAR
  6. Vagina Sardewi adalah Ella
  7. Zack Efron mengaku isap dadah dan baru pulih
  8. Pengurus Minta Zizan Razak Tunjuk Bukti Seleweng Wang Syarikat
  9. Stacy Bengang Digelar Juri Juara Pekak Di #AF2014
  10. Nabila sudah berubah?

Comments are closed.